Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Terima kasih sahabatku untuk segalanya. Memang benar kata hatiku, kau hanya tetamu hatiku yang datang dan pergi begitu sahaja.
Maaf andai kata aku tersilap mencongak pada nilai kejujuran dan berterus terang. Sesungguhnya kau lah sahabat yang menunjuk jalan padaku tanpa sedarmu. Duhai sahabatku, dunia kita memang berbeza tetapi hidup kita seakan sama.
Kita mencintai ilmu dan itulah yang mendekatkan hatiku padamu. Aku dambakan perubahan positif dalam diri ini dan kita seiring sejalan mula berubah menjadi lebih baik. Perubahan inilah yang dituntut kerana tiada manusia yang sempurna hidupnya. Kehidupan sederhana dan dilingkumi ukhuwah yang terbina menjadikan hidup sangat bermakna.
Terima kasih kerana menyedarkan hakikat silaturahim itu. Malah kebahagiaan yang dicari sebenarnya tergumpal dalam hati melalui keimanan. Iman yang memberikan sumber inspirasi untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan tidak putus asa. Jika iman yang setipis kulit bawang ini tidak dijaga mungkin setiap insan akan tersasar dalam hidup hingga jauh daripada keberkatan Ilahi.
Jalinan ukhuwahmu membuatkan aku teringat pada bait-bait ayat ini.
"Duhai wanita, jagalah pandanganmu dan tundukkanlah hatimu dengan rasa keimanan yang teguh kepada Allah swt. Janganlah kau menyalahkan takdir atas perkara yang kau tidak sukai namun sebaliknya bersangka baiklah pada Tuhan sekalian alam. Mungkin apa yang disukai olehmu tidak menjanjikan kebaikan padamu dan mungkin yang kau tidak sukai itulah yang menjadi perkara terbaik bagimu."
Dua dunia yang berbeza diikat dengan satu kata, UKHUWAH atau persaudaraan Islam. Ada mulanya dan tiada penghujungnya, seperti seutas tasbih yang diikat kerana kasih sayang dan diratib demi mencapai redhaNya. Itulah kata-kata azimat yang akan ku pegang selamanya. Ukhuwah yang didasari kerana Allah s.w.t akan menjadi suatu ukuran terbaik dalam perhubungan. Maka aku berharap persaudaraan sesama Islam akan terus mekar tanpa henti. Hal ini sangat bersesuaian dengan penjelasan nabi junjungan kita Nabi Muhammad saw iaitu :
"Di sekeliling Arsy terdapat mimbar-mimbar dari cahaya yang ditempati oleh suatu kaum yang berpakaian dan berwajah (cemerlang) pula. Mereka bukanlah para nabi atau syuhada, tetapi nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka."
Para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami tentang mereka." Baginda menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai, bersahabat, dan saling mengunjungi kerana Allah swt." (HR Nasa'i dari Abu Hurairah Radiallahu 'anhu)
Dengan itu walaupun kita sudah semakin jauh mengorak langkah menuju destinasi berlainan, aku akan tetap menganggap dirimu sebagai sahabat terbaikku.
Akhir kata, andai kita bertemu lagi, janganlah kau kenang perkara yang tidak baik tentang aku tetapi kenanglah perkara yang indah tentang kita. Apabila kita mulakan hidup baru, itu tidak bermakna memori lama akan terhapus tetapi ianya akan menjadi sebahagian kehidupan kita yang hakiki. Hakikat sebuah pertemuan yang manis dan akan kekal begitu.
Apapun terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku dengan dia walaupun seketika. Selamat tinggal sahabat. Moga kau menemui pencarianmu...
No comments:
Post a Comment
=)SENYUM =) SMILE =)
=) senyum itu sedekah yang paling mudah =)