Thursday, December 30

*mohd ikram loh dan ISLAM



Beliau suka membaca dan memerhati. Dari situlah hatinya terpaut terhadap Islam.
Bahan bacaan yang digemari Mohd Ikram Loh Abdullah atau nama asalnya Loh Kim Hua ialah buku agama tulisan Datuk Ismail Kamus atau menonton dan mendengar ceramah Datuk Harun Din.
Mereka ialah idolanya untuk mempelajari Islam dan merujuk sebarang kemusykilan.
Mohd Ikram, 52, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahawangsa di sini, memeluk Islam lewat usia 30an, walaupun minat untuk mengenali Islam sudah timbul sejak remaja.
"Saya memeluk Islam bukan kerana terpengaruh dengan rakan-rakan beragama Islam. Pendorong utama saya untuk menjadi seorang Muslim hadir dari dalam diri sendiri," kata anak ketiga daripada enam beradik ini.
Di bangku sekolah menengah lagi, walaupun beliau beragama Buddha, beliau banyak membaca buku agama Islam, ditambah pula ketika di Universiti Malaya, beliau mengambil pengkhususan dalam pengajian Melayu.
Tertarik Dengan Cara Ibadah
"Satu lagi, saya suka perhatikan dan amat tertarik dengan cara orang Islam melakukah ibadah. Solat berjemaah dan azan yang dilaungkan, menjadikan saya berasa tenang dan yakin dengan agama Islam," kata Mohd Ikram ketika ditemui selepas menerima anugerah "Tokoh Saudara Kita" sempena sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat negeri Kedah baru-baru ini.
"Sebelum peluk Islam saya sudah lakukan cara hidup Islam, seperti berpuasa selama dua hingga enam jam sehari, belajar solat menerusi bacaan dan menonton VCD sebagai sumber panduan saya," ujarnya.
Islam juga sebenarnya tidak asing di dalam keluarga Mohd Ikram sebelum itu kerana kakaknya telah terlebih dahulu memeluk Islam sekitar tahun 80-an.
Penerimaan Keluarga
Katanya beliau mengambil masa yang lama menangguhkan hasrat memeluk Islam di usia remaja kerana mahu menjaga hati ibu.
Mohd Ikram memeluk Islam pada Mac 1993.
"Ketika itu saya sudah bersedia. Saya sudah bekerja dan mampu berdikari serta bebas menentukan hala tuju hidup saya sendiri," katanya sambil mengukir senyuman.
Bagaimanapun pada ketika itu beliau belum bersedia untuk mendedahkan statusnya sebagai seorang Islam.
Untuk mengelak diri daripada diketahui mereka yang rapat dengannya, termasuk keluarga, beliau sering berpindah masjid untuk solat berjemaah.
"Tapi pada suatu hari saya terserempak dengan seorang kenalan ketika dalam perjalanan pulang dari masjid dan sejak hari itu semakin ramai kenalan terdekat mengetahui bahawa saya sudah peluk Islam," katanya.
Kahwin
Kepada keluarganya, berita dikhabarkan saat Mohd Ikram menyuarakan rancangan untuk berkahwin dengan wanita Islam.
Penerimaan keluarga pada mulanya agak dingin tetapi lama kelamaan mereka menerimanya, katanya.
"Ibu saya Tan Ah Soo berumur 69 tahun dan beliau kini menerima saya sebagai anak yang beragama Islam dan hubungan kami anak-beranak kini bertambah baik.
"Setiap kali menjelang perayaan Cina, saya akan balik kampung meraikannya bersama keluarga," kata Mohd Ikram.
Aktif Berpersatuan
Keluarga barunya pula bertindak sebagai tulang belakang yang banyak membantu dan membimbing Mohd Ikram, terutama isterinya Tom Pah Chom Sharif Taha, 42.
"Keluarga sebelah isteri banyak membantu saya dalam menempuh segala kekangan termasuk soal agama. Saya bersyukur kerana mereka boleh menerima saya seadanya," katanya.
Mohd Ikram gemar melibatkan diri dalam aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan kini beliau menyandang jawatan Setiausaha Persatuan Cina Muslim Kedah/Perlis.
Persatuan berkenaan bertanggungjawab menjaga kebajikan saudara baru Islam di sekitar Kedah dan Perlis dan mempunyai seramai 48 orang anggota yang berdaftar.
"Persatuan kami ini dibuka khusus untuk orang Cina yang baru peluk Islam, namun kaum lain yang berhadapan masalah semasa bergelar Muslim, juga boleh datang kepada kami," katanya.
Persatuan itu akan berusaha sedaya mungkin dalam hal membimbing dan membantu saudara baru agar mampu menjalani kehidupan berlandaskan syariat Islam yang sebenar.
"Realitinya ada juga segelintir mereka yang cenderung berbalik semula kepada agama asal kerana tidak ada tempat bergantung dan berbincang soal agama.
"Terdapat juga saudara baru yang masih amalkan cara hidup lama minum arak dan makan makanan tidak halal", kata Mohd Ikram yang juga anggota Jawatankuasa Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) Kedah.
Memahami masalah dan cabaran saudara baru, Mohd Ikram menasihatkan mereka supaya banyak bersabar dan yakin dengan kebesaran Allah.
"Apa yang perlu kita buat ialah ikhlas dengan sesuatu yang dilakukan dan lakukan dengan penuh pemahaman dan sepenuh hati," katanya.
-- BERNAMA

p/s:indahnya agamaku..alhamdulillah aku lahir sbg seorang 'ISLAM'
islam is da way of life..
moga ALLAH merahmatimu mohd ikram loh...:)




No comments:

Post a Comment

=)SENYUM =) SMILE =)
=) senyum itu sedekah yang paling mudah =)