Friday, December 17

*tidak mampu atau tidak mahu







Tak mampukah, atau sebenarnya tidak mahu? Dengan iman kita menjawabnya ~

Saya selalu melihat ramai yang menyatakan bahawa dia tidak mampu untuk taat kepada Allah SWT.
 Ada juga yang menyatakan bahawa, apa yang Allah berikan kepada dirinya adalah berat, dan dia tidak mampu membawanya dalam kehidupan.
 Berbagai-bagai alasan.
 Pokoknya, ayat tidak mampu adalah akar utama dalam jambangan alasan tersebut.
Kenapa orang suka cakap tak mampu?

Sebab Allah ada sebut: 
“”Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” 
Surah Al-Baqarah ayat 286. 
Jadi, dengan menyangka bahawa diri kita menyatakan alasan ‘tidak mampu’, maka taklif itu terangkat daripada kita
. Begitukah? Sebab itu, perkataan tidak mampu agak popular.

Tetapi, saya suka ingin kita melihat ke dalam jiwa kita. Ke dalam jiwa kita yang terdalam.

Sebenarnya, kita ini betulkah tidak mampu?

Atau sebenarnya, kita ini tidak mahu?

Maka tidak mampu hanyalah alasan, dan bukan hakikat. Bagaimana?

Sesungguhnya, tidak mampu dengan tidak mahu itu, adalah dua perkara yang berbeza.






Tidak mampu = tidak mempunyai kudrat.

Takrif tidak mampu adalah, tidak mempunyai kudrat.
 Jadi apabila dinyatakan bahawa si fulan itu tidak mampu melakukan solat, ini bermakna pada si fulan itu telah tiada segala apa kudrat yang membolehkannya mendirikan solat. 
Dalam erti kata lain, dalam hal solat, si fulan itu telah mati. 
Sebab, solat ini, kalau tak boleh berdiri sekalipun, kita disuruh solat duduk. 
Kalau duduk pun tak boleh, kita disuruh solat baring.
 Kalau mulut sakit sampai tak boleh bercakap, bersuara, kita disuruh baca dalam hati. 
Kalau kena solat baring, tangan pun tak boleh gerak, maka kita disuruh solat dengan isyarat mata.

Maka,
 apabila dikatakan bahawa si fulan itu tidak mampu lagi melakukan solat, 
ini bermakna si fulan itu telah tiada segala apa kudrat padanya yang membolehkannya mendirikan solat. 
Dalam erti kata lain, Si Fulan itu telah mati.

Jadi, tidak mampu bukanlah pilihan. 
Kita tidak memilih untuk tidak mampu. 
Oh, ada pilihan sebenarnya. 
Kita boleh memilih sengaja untuk sakit. 
Infect diri dengan apa-apa virus ke, atau campak diri dalam gaung ke, atau sengaja bunuh diri. 
Ha, itu boleh menjemput ketidak mampuan. T
etapi dalam erti kata lain, orang yang sengaja mencampakkan dirinya ke dalam kerosakan ini, berdosa juga akhirnya.

Pendek kata, normalnya, warasnya, ketidak mampuan adalah benda yang kita tidak panggil.

Tidak mahu = Pilihan untuk menyatakan pembantahan.

Manakala, apabila dikatakan si fulan itu tidak mahu, kita faham bahawa si fulan itu memilih untuk membantah perkara yang diarahkan, disuakan.
 Sebagai contoh, Ibu Si Fulan menyuruhnya membuang sampah, tetapi Si Fulan tidak mahu. Maksudnya, Si Fulan membantah arahan membuang sampah daripada ibunya.

Bantahan boleh terjadi banyak sebab. 
Tetapi asas sebab-sebab tersebut secara mudahnya berakar pada satu perkara, yakni TIDAK SUKA.

Tetapi, membantah tidak bermakna tidak punya kudrat untuk melakukan perkara itu. 
Si Fulan tadi, membantah arahan ibunya membuang sampah, bukan kerana dia tidak punya kudrat sehingga membuatkannya tidak mampu untuk membuang sampah.

Tetapi kerana dia tidak mahu membuang sampah.
 Bila ditanya mengapa dia tidak mahu membuang sampah, boleh timbul banyak sebab. 
Dia ada masalah dengan ibunya, dia tidak suka sampah sebab busuk, mungkin dia faham bahawa membuang sampah hanyalah perbuatan orang low class, atau mungkin ada dalam kepala dia kenyataan bahawa membuang sampah adalah amalan buruk. 
Yang akhirnya menyebabkan, dia membantah.

Itu adalah Tidak Mahu.

Saya ulang part paling penting: 
Tidak mahu tidak bermakna kita tiada kudrat melakukan perkara itu.”



Apabila datang Amrullah(perintah Allah).




Maka, apabila kita seorang mukmin dituntut melakukan sesuatu, diseru menjalankan sesuatu, diarahkan meninggalkan sesuatu, diperintahkan menjauhi sesuatu, oleh Allah SWT dan RasulNya, maka hakikatnya, pada fitrahnya, secara normalnya, arahan itu adalah dalam kadar kemampuan insan, kekuatan insan.

Maka sepatutnya, sebenarnya apabila kita sengaja menimbulkan alasan ‘tidak mampu’, kita sepatutnya memerhatikan semula, apakah benar kita tidak mampu, atau kita sekadar ‘tidak mahu’ melaksanakannya.

Ya, 1001 alasan boleh kita berikan. Saya suka dalam bab bagi alasan ini. Maka yang saya selalu cakap pada diri saya adalah, 
“Berikanlah alasan itu kepada Allah. Rasa-rasa Allah terima tak?”

Contoh mudah, bangun Subuh di kala musim sejuk.
 Memang selimut lebih sedaplah. 
Alasan bangun lewat adalah kerana ‘tidak mampu’ bangun. 
Terlalu sejuk. 
Ok, alasan yang nampak best, dan hampir logik. 
Tetapi benarkah ‘tidak mampu’? Atau sebenarnya memang ‘tidak mahu’ bangun kerana malas?

Maka cuba berikan alasan ‘tidak mampu bangun sebab sejuk’ itu kepada Allah SWT. 
Agak-agak, Allah mahu terima?

Akhirnya kita akan lihat bahawa, kita menyedari yang Allah itu tahu bahawa kita sebenarnya mampu bangun, tapi malas sahaja nak lawan sejuk.
 Alhamdulillah kita tanya diri kita sekarang, di dunia ini.
 Tetapi bayangkan kita telah ‘terlajak’ ke akhirat nanti. 
Allah sendiri yang menyoal: 
“Mengapa kau selalu bangun Subuh lambat?” 
Agak-agak, jawapan apa yang keluar dari pancaindera kita pada hari mulut kita dikunci dan tiada pembohongan itu?

Nah.



Antara ciri-ciri mukmin, menyahut seruan Allah, dan bersungguh.

“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.”

 Surah Al-Anfal ayat 24.

Ya. Mengapa disebut orang beriman di sini?
 Bukan diseru kepada sekalian manusia, atau sekalian muslimin(orang-orang Islam)?
 Ini menunjukkan hakikat bahawa, hanya yang beriman sahaja yang mampu menyahut seruan Allah dan Rasul apabila mereka menyeru kita melaksanakan sesuatu yang pastinya memberikan kebaikan kepada kita.

Di sini saya hendak menunjukkan satu contoh, yang saya sudah pernah bawakan sebenarnya,
 kisah As-Syahid Abdullah Azam, di kala ketuanya(atau dalam cerita lain, saya mendengar dia yang memberikan arahan kepda anak buahnya) memberikan arahan supaya mereka berlari keliling tempat latihan sepenuh tenaga mereka.

Maka semua berlari,termasuklah As-Syahid Abdullah Azam. Namun, semua apabila kepenatan dan keletihan, mereka berhenti. Mereka ‘rasa’ mereka sudah tidak lagi bertenaga. Tetapi lain dengan As-Syahid Abdullah Azam, dia terus lagi berlari, walaupun kondisinya sama sahaja dengan mereka tadi. Keletihan juga. Lari dan terus berlari. Hinggalah dia pengsan.

Semua bertanya selepas dia bangkit dari pengsannya, mengapa dia berlari sedemikian rupa? As-Syahid Abdullah Azam menjawab: “Bukankah arahan tadi adalah untuk berlari sepenuh tenaga?”

Semua terkesima.

Ya, sepenuh tenaga. 
Maksudnya, sampai tak ada tenaga dah. 
Maka, berlari sehingga pengsan sahajalah yang memenuhi kriteria tersebut. 
Sekiranya masih mampu bercakap, masih mampu berjalan keluar dari medan, itu maksudnya masih bertenaga.

Itulah dia As-Syahid Abdullah Azam, Mujahid Afghanistan, contoh kepada orang-orang yang beriman.

Bagaimana pula kita dengan arahan Allah SWT?



Kadang-kadang, kita yang terlalu memanjakan diri kita

Orang kata, kalau nak dapat pingat emas dalam apa-apa acara sukan, maka kenalah training habis-habisan. Penat adalah perkara wajib. Letih adalah yang mesti dilalui. Susah adalah teman. Sakit-sakit sendi, sengal-sengal otot adalah sahabat karib. Yang goyang kaki, lenggok pinggang, memang macam badut di atas medanlah kan.

Itu pingat emas dalam acara sukan.

Agak-agak, nak capai Syurga Allah SWT yang tidak pernah mampu dibayangkan oleh akal manusia biasa ini, bagaimana?
Pastinya ada kepayahan. Ada kesukaran. Pastinya memerlukan tolakan dan paksaan. Tambahan, syurga dipagari oleh perkara-perkara yang dibenci oleh nafsu kita. Lebih keraslah kita perlu bermujahadah.

Namun, perjalanan yang sukar itu, berada dalam kemampuan kita sebenarnya. 
Tinggal, kita ini kadangkala terlalu memanjakan diri kita.
 “Tak apa kut.”, “Ah, biarlah.” 
Kita tidak mendidik diri kita untuk suka apa yang Allah suka, benci apa yang Allah benci, itulah yang akhirnya kita berikan alasan ‘tidak mampu’lah. 
Sedang hakikatnya di pangkal hati kita yang terdalam, kita sebenarnya ‘tidak mahu’ melakukannya.

Muhasabah diri semula.

Hilal Asyraf






No comments:

Post a Comment

=)SENYUM =) SMILE =)
=) senyum itu sedekah yang paling mudah =)