Monday, June 16

Cerita cinta sikit..eh.






"Ye lah... Baju ni kan baju yang awak hadiahkan minggu lepas.""Cantik baju awak malam ni..." 

"Awak, malam ni malam apa ye?" 

"Entah. Malam apa? Kenapa dengan malam ni...?" 

"Awak, malam ni malam Valentine Day la..." 

"Oh, awak... saya nak cakap sesuatu la malam ni..." 

"Apa dia? Cakap je la." 

"Awak, saya terbaca kat satu artikel ni, yang kita tak boleh sambut Valentine Day. Awak tahu tak pasal tu?" 

"Dah lapuk cerita tu... abaikan je la." 

"Awak, kita orang Islam kan?" 

"Yeah, for sure la..." 

"Kita ni Islam atas nama je, kan?" 

"Eh, apa yang awak nak syarah kat saya pulak ni...?" 

"Saya takut la awak... malam semalam, saya mimpi, saya mati. Mati wak.. awak tak takut mati ke?" 

"Isy... stop talking nonsense la." 

"Saya cakap betul awak. Ada kawan saya cakap, couple tu haram. Kalau nak berkasih dan bersayang berlainan jantina, kena ada ikatan yang sah. Tapi kita?" 

"So?" 

"Kalau saya nak minta kita kahwin sekarang, mesti awak tak setuju kan? Alasannya kita masih muda. Tapi wak..." 

"Awak jangan nak merepek ye. Jangan kata tiba-tiba nak berubah pulak. Awak yang ajak saya datang malam ni kan?" 

"Tapi awak, saya tak habis cakap lagi ni..." 

"Sudah. Sudah. Jangan rosakkan hari kekasih esok ni. Saya ada surprise untuk awak." 

"Saya tak perlukan surprise tu. Saya takut Allah bagi 'surprise' kat saya, tanpa saya sempat buat apa-apa. Awak, dengar ni. Kalau kita nak berkasih, kena ada ikatan yang sah. Dan, berkasih bukan ada hari spesifik. Awak, saya takut wak..." 

"Apa yang nak ditakutkannya lagi. Saya kan ada." 

"Tapi nanti, kalau saya dah mati, saya tinggal dalam kubur sorang-sorang. Kalau saya kena soal macam-macam, kena seksa, awak ada ke dengan saya waktu tu untuk tolong saya, bela saya? Kalau awak ada, takpelah, saya rasa sikit lega." 

"Awak ni dah mengarut ni..." 

"Awak, kita bukan tak tahu semua ni. Kita tahu. Cuma kita sengaja buat-buat tak tahu. Kita pun ada belajar agama waktu sekolah dulu. Awak tak ingat ke? Ustaz Zamri selalu ingatkan kita pasal ni." 

"Ok, ok. It's enough. So, apa yang awak nak sangat sekarang ni?" 

"Kita clash! Itu yang terbaik wak." 

"What??? Awak kena sampuk apa malam ni?" 

"Biarlah awak nak kata saya kena sampuk ke apa, sekurang-kurangnya saya nak awak pun kena sampuk." 

"Gila apa awak ni. Saya nak balik la macam ni." 

"Awak, ingat kata-kata terakhir saya ye. Hidup ini tak lama. Hanya ada peluang sekali. Tapi, kalau kita gunakan ke arah kebaikan, sekali tu sudah mencukupi." 

"Dah, jom balik." 

"Takpela awak, saya balik sendiri." 

"Whatever. Pelik la awak malam ni. Ok, see you tomorrow." 

Baru sahaja lelaki itu berlalu meninggalkan teman wanitanya sejauh 10 km, terdengar satu hentaman kuat. Sebuah motor dirempuh oleh sebuah kereta dari arah bertentangan. 

Dia. 

Malangnya, tidak lagi bernyawa. 

Dijemput malaikat terlebih dahulu. 

Maka, tiada lagi peluang baginya. 

Tiada lagi sesalan baginya. 

Untuk bertaubat, memohon keampunan dosa-dosanya. 

Hanya bekalan yang sedia ada, bakal dibawa, hingga ke sana. 
....... 

"Awak, kenapa awak pergi dulu? Kita tak sambut Maulidur Rasul lagi." 

"Awak..." 

"Eh, awak cakap dengan siapa ni?" 

"Macam mana awak ada kat sini? Bukan ke awak yang kena langgar kat depan tu?" 

"Tu la... saya pun ingat saya yang kena langgar, tapi rupa-rupanya motor belakang saya yang kena. Alhamdulillah, nasib baik Allah masih pelihara saya. Pastu saya teringat kata-kata awak tadi, sebab tu saya patah balik ni. Saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab sedarkan saya tadi." 

"Saya balik dulu. Assalamu'alaikum." 





Ceritera Kecilku




Masa ni nama pun tak ingat lagi. panggil kamu, kamu ja. ;) depa pon takut lagi ngan cikgu yang buat-buat garang ni. tak kenal lagi kan. haish!
macam-macam ragam. Hartith Erfan ngan Alif Hakimi always the winner in a class.. dan Amir Asyraf. Allahu! dah mati akal. mati kutu. mati la nk jerit dan cakap apa lagi kat depa ni. tak reti dok diam. suruh dok sebelah cikgu pon kaki, mulut, tangan bergerak bising tak hengat. tensyen la lima belas minit. pastu berhambur la marah dengan merajuk..baru senyap. alahai anak-anak!
lima minit kemudian.....bising seperti biasa
conclusion  : kanak-kanak tidak mampu disenyapkan. Nokhtah.


Ini Muizz syg, rinduuunya budak zapin ni..!
kuat merajokk..manjee..kalau minta maaf kt kite sbb lupa bt homework siap buat mata comel n sengih2 lagi. ingat cikgu tak jadi marah la sengih2 comel mcm tuu..tak kira kena jugakk marah...haha!

merajok tak suda. dok bertempek kt pintu tuu..tula sapa suruh tak bawak buku..kan cikgu taknak kawan..nak pujukk pon lamee..huhu...seb bek mau senyum pastuu... <3

muizz dan bukhari ;) sahabat baik duduk bersebelahan. Moga jadi anak soleh yang berbakti pada agama dan bangsa.

bukhari bagi bungo dy letak atas meja pastu lariii.. takdan nak tanye ape2. bukhari bukhari. baik dan berbudi.. (dan nanges2 masa last day). :'(


wajah-wajah kesayangan hamba.


rindu nak peluk, marah, tepuk-tepuk kepala kamuuuu! dan jerit2 nama budak yang bising dan puji2 nama budak yang baik buat kerja.



kelas di bilik media. how excited they. ;)





ariena sayang, serius cigku tak tahu nak bawak balik bunga dalam pasu berair mcm mana. haha!
kreatif betul budak2 ni. siap pasu botol air tu ada air lagi. aduh!





budak lelaki 3 fokus. riang ria jer. yang blakang tujek sayu sikit. yang perempuan meraung tak hengat. meraung dan menangis ye bukan menangis sahaja . okbai.

mms : doakan ambo dan murid2 ambo baik dan diberkati Allah sentiasa.








miss them






Kring..kring..kring..bunyi telefon bimbitku di atas katil.
No siapa pulak dah ni..
"Hello..assalamualaikum."
....."Cikguuuuu amalina!!".......
Bibirku menguntum senyum..
ahhh! sah sah budak bangsar ni.
terbayang-bayang wajah mereka yang comel dan nakal tu..
amir, aisyah, danial, harith, haikal, alif hakimi.

"siapa ni?" tanyaku
"ini bukhari la cikgu.."
Allah, anak yang baik lagi bersopan.
sungguh aku rindu suaranya.

"Cikgu..bila nak mengajar sini lagi, kami 3 fokus rindukan cikgu" ujarnya..
"Cikgu sambung belajar bukhari" balasku 

teringat ada murid pernah berkata apabila aku mengatakan aku mahu sambung belajar. 
" cikgu..cikgukan dah pandai..kenapa nak belajar lagi?
cikgu kan dah capai cita-cita cikgu"
"oh. cikgu nak jadi mcm cikgu upin ipin kan.".
;)
such a cute moment. tapi lupe sape yang ucap.

Berpuluh-puluh kali kol guna public fon di guard sk bangsar. haha. mcm-mcm lah..
dahla public tu macam tak elok..bising..hehe..

tak puas kol guna public fon. guna hp ibu..amir2..amir yang satu kelas memanggilnya nakal. aku berusaha dekat dengannya. mahu mencuba rapat dan berusaha menyanyanginya. sungguh ada sisi baik dari dalam dirinya. mungkin latar belakang yang membuatkannya berbeza. aku mampu mendekati murid kerana aku hanya mengajar satu kelas sahaja. tapi guru lain.?? huh..dari pagi hingga ke balik mengajar kelas berasingan.?
mana masa mereka?
kualiti? kuantiti? namun dalam kesibukan itu. betapa kesabaran mereka terdidik.
sedangkan aku yang hanya sebulan berpraktikum ini bagai dicarik-carik kesabaran hingga pernah air mata menitis. 
Namun, semangat guru muda masih ada..mencari pelangi di sebalik hujan rintik dan hujan lebat. awan mendung tak mengapa. aku mampu mencari sirna. 

moga ada sedikit tertulis di sisinya. allahu


salam sayang 3 fokus.
cg amalina

                                 




p/s: budak perempuan guna wassap n terus call. ;)
sms : doakan ambo jadi murobbi baik ya.






Baca Buku : Ibrah Al Fateh


Sesetengah manusia membuat analogi, bahawa sesungguhnya, hidup ini umpama sebuah kapal yang berlayar di lautan luas. Sedikit canggung bunyinya, namun saya amat bersetuju.

Sempadan samudera biru cukup luas. Tidak terlihat dek mata meski diakui kewujudannya. Sebuah kapal yang berlayar, jauh membelah lautan, meredah ombak dan badai, menuju destinasi idaman, amat butuh kepada dua perkara asasi. Kecukupan bahan bakar untuk terus berlayar dan kejelasan destinasi yang ingin ditujui. Datangkanlah nakhoda sejaguh mana sekalipun, pilihlah meranti terbaik di belantara untuk dijadikan kayan kapal tersebut atau rentanglah kain layar selebar langit Tuhan untuk dijadikan layar pelayaran, namun, jika tidak cukup bahan bakarnya dan tidak tahu hendak ke mana, usah menjadi umpama Laila yang menanti bulan jatuh ke ribanya.

“Bahan bakar” dan “destinasi” adalah dua rahsia daripada jutaan rahsia yang menjadi inti sebuah kegemilangan. Dalam cubaan menterjemah dua kalimah ini ke alam realiti, saya menemui jodoh tertepatnya adalah bekalan dan inspirasi atau matlamat. Mengapa dua kalimah ini?

Bekalan atau bahan bakar adalah sumber tenaga untuk bergerak. Untuk terus mara ke hadapan. Manakala, inspirasi atau matlamat adalah dorongan dan keinginan yang jitu terhadap sesuatu sasaran untuk dicapai. Mudah bicara, tahu hendak ke mana dan cukup bekalan untuk bergerak, maka akan sampai ke destinasi tujuan atau terhasil kejayaan.

Dunia menyaksikan, dalam tahun-tahun yang sudah berlalu, bahawa telah lahir ikon dunia dengan kejayaan tersendiri mereka. Adakalanya, ia bersifat peribadi. Tidak kurang juga, kejayaan tersebut memberi sumbangan yang signifikan dan impak yang cukup maksima dalam kehidupan. Penciptaan roda, telefon, mentol, formula kalkulus, dan pelbagai lagi penemuan agung muncul satu demi satu mengisi keperluan manusia.

Saya mengambil sebentar tumpuan sekalian pembaca budiman. Tolehlah ke belakang dan lihat keagungan sejarah milik kita. Meski sudah berlalu, namun bekas kegemilangan Islam masih ada dek kerana dalamnya kesan yang ditinggalkan. Menanti untuk dihidupkan kembali.

Muhammad Al-Fateh dan tenteranya adalah bukti kebenaran janji Ilahi menerusi kata-kata kekasih-Nya:


“Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kehebatan kisah ini dirakam dalam sebuah puisi perjuangan:

Utusan Tuhan bersabda,
Benarkan satu ketika,
Derapan kuda kan tiba,
Bebaskan Kota di Roma.

Tentera Fateh pun datang,
Hadis Nabi kuatkan iman,
Layar kapal rentas daratan,
Tanduk Emas dibantu Tuhan.

Tujuh puluh kapal pun tiba,
Byzantin gegak gempita,
Dua ratus ribu tentera,
Mimpi buruk sudah pun tiba.

Lapan ratus tahun penantian,
Konstantin akhir ditawan,
Panji Islam dikibar Hasan,
Tubuh syahid jiwa dikorban.

Itulah si anak muda,
Beraksi menggegar dunia,
Dialah sebaik raja,
Merekalah sebaik tentera.

Demikian kisah ini ditinta dengan darah dan jiwa mereka. Demi menghirup nikmat redha Tuhan.

Walau bagaimanapun, ketika kita menyelusuri kisah Al-Fateh dan tenteranya, acap kali kita terlepas pandang satu noktah besar. Satu noktah yang secara tidak sengaja tersembunyi.

Bolehkah kita katakan, Al-Fateh itu kehebatannya datang secara tiba-tiba? Secara ajaib? Bagaimana susuk tubuh itu mampu memerintah 20 buah negara pada usia 19 tahun? Apakah pengalaman berharga yang pernah dilaluinya? Dengan siapa proses itu dilalui? Siapa yang membinanya? Siapa guru kepada Al-Fateh?

Sheikh Aq Shamsuddin adalan insan yang telah membentuk keterampilan dan wibawa baginda sultan. Seorang yang faqih ilmu syara’ dan mengasuh Al-Fateh sejak kecil. Perkembangan baginda diperhati dengan begitu rapi dan teliti. Al-Fateh dididik meninggalkan kemewahan sejak kecil, dibina jiwanya atas akidah dan ilmu syara’ yang jitu, dan dikembang keilmuan dan pengetahuan lain seperti seni peperangan, urus tadbir negara, kemampuan mengawal emosi dan lain-lain lapangan ilmu. Tinggal di dalam istana ayahandanya tidak menjadikan Al-Fateh mabuk dunia. Bahkan, malam harinya diisi dengan tangisan merindui kekasih hakiki dan siangnya tangkas memimpin dan berbakti.

Sheikh Aq Shamsuddin memenuhkan jiwa Al-Fateh dengan bekalan yang mencukupi dan menjelaskan dengan sebenar-benar penjelasan tentang destinasi yang harus ditujuinya. Holistiknya pemahaman terhadap Islam yang meliputi aspek negara dan watan, pemerintahan dan ummat, akhlak dan kekuatan serta rahmat dan keadilan, pengetahuan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman, juga kebendaan dan harta serta usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah. Semua ini berdiri atas asas akidah yang benar dan kukuh serta ibadah yang sah. Kefahaman yang jelas ini mengalir panas dalam pembuluh darah baginda sultan sehinggakan diterjemah dengan pembukaan Kota Konstantinopel. Begitu besar kesan yang ditinggalkan sang guru kepada anak didiknya.

Demikian realiti seorang guru. Menjadi pemangkin kepada pembangunan sebuah peradaban yang dikagumi.

Bahan bakar dan destinasi tujuan yang dinyatakan pada awal penulisan diadun sebati di tangan seorang insan bergelar guru adalah formula mujarab kepada kemajuan. Secara peribadi, cermin diri kita sendiri. Di mana kita berada sekarang. Kita lihat, apa pencapaian kita, apa pola perubahan kehidupan yang pernah kita lalui, ketika keluarnya kita dari dunia gelap kepada terang sinar mentari dan ke mana hala tuju kita seterusnya, siapa menjadi pemula kepadanya. Sedar atau tidak, di sebalik setiap pencapaian itu, berdiri kukuh seorang insan bergelar guru menunjukkan jalan dan mempersiapkan kita menghadapi hari-hari muka. Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Profesion seorang guru mampu menjadi penentu jatuh bangunnya sebuah tamadun manusia. Kerjaya mendidik adalah satu perlaburan jangka panjang yang amat bermanfaat. Kerana hasilnya terhadap seorang pelajar, akan dia secara individu rasai dan masyarakat secara keseluruhannya nikmati setelah puluhan tahun berlalu. Memetik kata-kata Tsun Zhu, seorang panglima dari China: ‘untuk membina sebuah tamadun yang hebat, ahlinya perlulah sanggup menyemai benih-benih harapan dan menanam pokok-pokok impian yang mana tidak akan mereka nikmati enak ranum buahnya’

Bermula zaman Nabi Muhammad SAW, proses pendidikan dan pembinaan modal insan amat dititik beratkan. Ia adalah tunjang kepada dakwah baginda. Sahabat awal yang memeluk Islam seperti Abu Bakar, Zubair bin Awwam, Ali bin Abi Talib, Talhah, dan Bilal adalah di kalangan sahabat yang pernah melalui asuhan baginda Rasul di rumah Arqam. 
Ayat-ayat cinta Ilahi turun lembut menyapa hati dan jiwa mereka umpama menitisnya air di atas kerasnya batu. Akhirnya melekuk dan berbekas. Jiwa sanubari manusia akan sangat responsif terhadap benarnya kalimah suci Tuhan. 
Matlamat daripada proses murni ini adalah untuk menanam dalam hati nurani dan sanubari para sahabat, bahawa agama adalah satu sistem hidup Ilahi yang diatur untuk sekalian umat nanusia. Satu sistem mutlak yang mampu menyeimbangkan kestabilan antara alam buana dan jiwa manusia. 
Di situ sekalian sahabat menemui bekalan terbesar dan destinasi tujuan sebenar di sebalik rahsia penciptaan mereka. Maka bertebaranlah mereka ke seluruh pelusuk alam menyampaikan dan menyambung laungan dakwah nabi yang berseru di atas Bukit Safa. Sehingga kini, seru jeritan itu bersambung terus menerus bertukar susuk penyeru sehingga sampai ke jiwa kita.

Demikian peri pentingnya seorang guru dan proses pendidikan untuk membina sebuah peradaban.

Berlalunya zaman sahabat, berganti penyeru lantas memayungi ummat. Imam Ahmad, gemar bersama masyarakat dan anak-anak muda dalam majlis-majlis mereka. Lalu, beliau mengenali mereka, menasihati mereka, mendidik, dan menunjukkan hakikat kehidupan yang sebenar. Begitu si Imam mengimani bahawa generasi muda perlu dididik. Dialah imam, dialah guru.

Seruan itu juga disambut dan disampaikan oleh golongan manusia masa kini. Bersumberkan intipatinya yang sama. Dua pedang yang menjadi tonggak muslim, Al-Quran dan Sunnah adalah titik kembali yang sama antara kita dan mereka. Seorang pejuang Islam, Sheikh Mustafa Masyhur menyatakan dalam salah satu karyanya (Jalan Dakwah):

“dalam fasa pembinaan dan penyediaan individu yang terbaik, sudut utama dan terpenting yang perlu diberi penekanan lebih adalah membangkitkan jiwa daripada kelesuan yang panjang.”

Juga Allah berfirman,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (Surah Ar Ra’d: 11)

Sememangnya, sejarah menyaksikan, jasa seorang insan bergelar guru tidak mungkin terpadam. Bergantilah tokoh-tokoh hebat di sekeliling kita, pasti sebelum itu, dalam memulakan pelayaran kehidupan yang jauh dan panjang, untuk mengumpul bekalan dan mengetahui destinasi tujuan, pernah mendapat sentuhan manusia dipanggil guru. Yang mana telah lebih awal bersama tokoh tersebut saat dia belum ada apa-apa dan belum bergelar sesiapa. Kudrat dan keringat yang mengalir tidak diharapkan apa-apa melainkan hanya mahu menyaksikan anak didiknya mampu menjadi lebih baik daripada dirinya.

Buat sekalian jiwa yang membaca, ingat kembali bagaimana kita boleh berada di sini. Bagaimana banyak tenaga yang dicurahkan guru dalam mendidik kita, melayani setiap kerenah, mengisi penuh bekal-bekal perjalanan, dan meluruskan destinasi tujuan. Kuatkan usaha dan azam dalam belajar kerana suatu hari nanti, kita pula akan menjadi sebahagian batu bata kepada binaan Islam yang agung. Jangan terlalu asyik mendongak purnama di langit sehingga terlupa hijaunya rumput di bumi.

Kepada sekalian guru, teruskan kegigihan mara melangkah kehadapan untuk mendidik dan membina ummat tercinta. Walau betapa penat anggota badan dan kusut masai pemikiran, yakinlah bahawa setiap usaha kalian untuk membina generasi harapan adalah saham-saham yang akan memastikan Islam kembali tertegak ke kedudukan asalnya semula. Hanya Tuhan Yang Satu mampu membalas gunungan tinggi jasa kalian kepada kami.

“Kapal sudah di pelabuhan,
Peta sudah di tangan,
Sauh sudah diangkat,
Layar telah dibuka,
Bahan bakar sedang membara,
Destinasi tujuan menjadi inspirasi bersama,
Segalanya dimulakan oleh seorang insan biasa,
Dengan lembut sabarnya dia mengajar,
Mengaji, mengeja, membaca, menulis, dan mengira.”


Oleh: Muhammad AD bin Satiman,
Tahun 2, Kuliah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar (Kaherah)






Baca Buku : Al Fateh


Kelahiran yang dinanti dunia seisinya
Bakal mencipta sejarah
Bakal melakar nama
Membebaskan kota istimewa

Telah dicuba berlapis kerurunan
Mencari sebaik raja
Memjadi rakyat berakhlak mulia
Menghidup roh islami tentera

Hadis nabi ingin dikota
Fateh lahir ke dunia
musuh kelat air muka
bakal diduga sejarah duka

Matang sebelum usia
Tekad mencapai cita
Ikrar mencapai amanat
Demi Allah sejarah tercipta

Yakini Allah nadi hidupnya
Azam tinggi menggapai awan
Ilmu intelek sangatlah hebat
Dunia bukan ukuran
Akhirat jadi tumpuan

Ditangannya Turki ternama
Biarpun usianya masih muda
Sosok tubuh remaja berguna
Darah muda panas mengalir

Lautan dan daratan jadi saksi
Marmara penuh darah
Gunung menjadi jalanan
Betapa tekadnya pemuda itu

Solat tidak pernah dilupa
Zikir memenuhi diri
Rakyat diasuh berbaik
Tentera terlatih akidah

Hidup disamping ulama
Berkat doa dan hidupnya
Semuanya berlandakan agama
Berperang mengikut cara nabi

Akhirnya Konstatinopel jatuh
setelah 53 hari
Kapal laut belayar di darat
ah, kerja gila.
Namun itu kehendak Tuhan.

Musuh lawan memandang tinggi
tertanya akhlak siapa yang diwarisi
tetntulah akhlak nabi yang disanjungi
idola umat sehingga kini

Fateh wafat diracuni
walau tahu siapa yang mengingkari
rahsia teguh sehingga menutup mata
agar nanti tiada sengeketa
antara mereka










Baca Buku : Umar Al Khattab


Khalifah Umar Al-Khattab (Pemisah Hak dan Batil)

Khalifah Umar Al-Khattab merupakan khalifah Islam kedua menggantikan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq  yang wafat dan juga merupakan khalifah yang paling banyak melakukan perubahan pada zaman 

pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin.
Beliau merupakan seorang yang adil dan tegas dalam pemerintahan dan seorang yang bijaksana dalam menyusun dan menguruskan pentadbiran dan menyelesaikan masalah negara. Beliau juga sangat terkenal kerana merupakan sahabat Nabi Muhammad S.A.W. yang paling tinggi akalnya. Dibawah ini  merupakan antara perubahan yang telah dilakukan pada zaman pemerintahan beliau.
BIDANG PENTADBIRAN
Menyusun Semula Majlis Syura
Khalifah Umar Al-Khattab telah membuat keputusan untuk menyusun semula majlis Syura bagi memudahkan urusan pentadbiran negara dan mendengar aduan daripada rakyat jelata. Beliau telah menyusun semula majlis ini menggunakan prinsip ‘syura’ dengan membentuk Majlis Tertinggi dan Majlis Umum yang mempunyai fungsi dan bidang kuasa yang berbeza-beza. Majlis tertinggi adalah semacam jawatan kuasa kabinet yang terdiri daripada tokoh-tokoh besar seperti Ustman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas dan Muaz bin Jabal dan Majlis Umum pula bertindak sebagai penghubung dengan rakyat dan bersifat terbuka yang mana rakyat boleh membuat aduan dan menyuarakan pandangan terus kepada khalifah Umar Al-Khattab sendiri dan majlis ini terletak di masjid.
Menyusun Semula Pentadbiran Wilayah
Khalifah Umar telah melaksanakan dasar pentadbiran wilayah yang baru dengan membahagikan wilayah kepada lapan bahagian iaitu Mekah, Madinah, Sham, Basrah, Syria, Kufah dan sebagainya yang masing-masingnya mempunyai seorang Gabenor, seperti Amru ibnul-Ass, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Musa Al-Shaari, Al-Mughirah bin Abu Shu’ah, Abu Aidah Al-Jarrah dan lain-lainnya.
Melantik Gabenor
Seperti mana yang dinyatakan diatas, Khalifah Umar Al-Khattab telah mengadakan jawatan Gabenor (wakil khalifah) di wilayah yang ditakhluk. Para Gabenor tersebut bertanggungjawab menjalankan pentadbiran dengan adil dan menjalankan segala polisi yang ditetapkan oleh khalifah.
Menubuhkan Jabatan Baru
Khalifah Umar Al-Khattab telah menubuhkan banyak jabatan baru bagi melicinkan pentadbirannya dan bagi memudahkan beberapa urusan penting  yang memerlukan tindakan segera seperti ketenteraan dan penghakiman.
Antara jabatan yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab ialah:
Dewan Al-Jundi - 
merupakan jabatan ketenteraan untuk mengatur latihan ketenteraan dan mengendalikan urusan ketenteraan.
Dewan Al-Kharaj -
dewan ini ditubuhkan oleh khalifah untuk memudahkan pemungutan cukai dengan lebih berkesan dengan cara menghantar pemungut cukai ke kawasan yang jauh untuk memungut cukai dan menyebabkan hasil pendapatan negara bertambah banyak kerana adanya pegawai-pegawai yang cekap.
Jabatan Polis - ditugaskan untuk menjaga keselamatan penduduk dan orang awam bagi menjamin keamanan masyarakat dan negara.
Jabatan Kadi - menyelesaikan masalah salah faham dalam masyarakat dan jenayah dengan cara bertindak sebagai hakim
Memisahkan Kuasa Kehakiman Dari Pemerintahan
Khalifah Umar Al-Khattab telah melakukan suatu tindakan yang mendahului sejarah apabila beliau menjalankan sistem pentadbiran yang dalam istilah perundangan moden dipanggil sebagai  perasingan kuasa ‘separation power’. Meski pun caranya agak berbeza dengan fahaman politik dan amalan masa kini, tetapi Khalifah Umar telah berjaya menjalankannya apabila para kadi diberikan kebebasan untuk menjalankan tugas-tugasnya, tanpa ditakutkan-takutkan oleh kuasa -kuasa politik. Pernah terjadi seorang Muslim meminta fatwa daripada Hakim Ali bin Abi Talib, sedangkan Khalifah Umar Al-Khattab tidak bersependapat dengan Hakim Ali bin Abi Talib. Namun Khalifah Umar Al-Khattab tidak bertindak agar keputusannya yang dipakai, apa lagi untuk memecat Hakim yang bertentangan pendapat dengannya.
BIDANG EKONOMI
Menubuhkan Baitul-Mal (perbendaharaan)
ditubuhkan untuk mengurus cukai dan cukai dibahagiakan kepada beberapa kategori iaitu:
Kutipan zakat
-Usyur (zakat tanaman) iaitu 1/10 jika menggunakan air hujan atau 1/20 jika menggunakan tenaga
-Bagi orang bukan Islam pula dikenakan cukai kharaj (cukai kepala) serta cukai jizyah (cukai kerana tinggal dalam negara Islam)
-Baitul-Mal juga memperoleh harta daripada Al-Fai iatu harta rampasan perang tanpa peperangan dan Ghaminah iaitu harta rampasan perang.
Membuat Undang-undang Tanah dan Pajakan
Semasa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah menghapuskan pemerasan tuan-tuan tanah (lands lord) dan beliau juga telah mengarahkan supaya menguruskan kebun-kebun terbiar  dan membuka kebun-kebun baru.
Membina Terusan dan Empangan
Khalifah Umar Al-Khattab juga telah membina sebuah empangan sejauh 111 kilometer yang diberi nama Empangan Amirul Mukminin dan Empangan Abu Musa dengan tujuan untuk memudahkan pengairan untuk tujuan pertanian.
BIDANG PENDIDIKAN
Dari segi pendidikan, khalifah telah mendirikan banyak pusat-pusat pengajian Islam di kota-kota Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya. Guru-guru agama juga telah dihantar ke pusat-pusat ini sehingga lahirnya ilmu-ilmu baru seperti ilmu Qira’at dan penyebaran ilmu hadis.
BIDANG KETENTERAAN
Gerakan ketenteraan yang dilancarkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab lebih banyak tertumpu kepada jajahan-jajahan Rom dan wilayah Parsi. Tindakan pertama Khalifah Umar Al-Khattab dalam bidang ketenteraan ialah memecat Khalid bin Al-Walid dan diganti oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah.
Menentang Rom Dan Membuka Baitul-Maqdis
Abu Ubaidah telah memimpin tentera Islam seramai 24 ribu orang untuk menentang tentera Rom yang dipimpin oleh Jabalah ibnul-Aiham, raja terakhir negeri Ghassan yang diberi bantuan  oleh Mahan daripada Armenia. Maka berlakulah Peperangan Yarmuk pada 636 M dan kemenangan berpihak kepada tentera Islam.
Dalam pada masa itu juga, Abu Ubaidah dan Khalid bin Al-Walid telah menakhluki Hems,Hama, Qinnistria, Laziqiyah dan Aleppo. Amru dan Shurahbil pula berjaya merebut Acre, Haifa, Jaffa, Ghazzah dan lain-lainnya, kecuali Baitul-Magdis sahaja yang belum menyerah. Namun, akhirnya Jurusalem menyerah diri kepada Khalifah Umar Al-Khattab sendiri pada 15 H melalui perjanjian damai.
Pembukaan Mesir
Seterusnya, Amru mara ke Bulbais dengan menghadapi tentera Rom pimpinan Artibun dan disini juga tentera Islam mendapat kemenangan, tetapi dalam pertempuran Ummu Dunain pula, tentera Islam kemudiannya mengalami kesukaran. Tentera Islam telah bertempur dengan tentera Rom pimpinan Theodore yang berjumlah 20,000 di Ainus-Sham dan berjaya memenanginya.
Tentera Muslim terus mara ke Iskadariah, ibu kota Mesir namun mengalami kesukaran untuk menawannya kerana bentengnya agak kuat sehingga melemahkan semangat tentera Islam. Khalifah Umar Al-Khattab  telah mengutus surat untuk membidas sikap tersebut dan barulah tentera Islam bertekad berjuang habis-habisan sehingga sanggup memanjati tembok tersebut. Ini menyebabkan tentera Parsi melarikan diri dan tentera Islam berjaya memperoleh kemenangan.
Menakluk Parsi

Khalifah Umar Al-Khattab telah mengirimkan bantuan tentera yang disertai Abu Ubaid Al-Saqaty dan Sulait Al-Ansary kepada Al-Muthana yang baru 

mengambil alih pimpinan Khalid Al-Walid dulu. Maka berlakulah Peperangan Jambatan sebanyak dua kali berhampiran Al-Hirah pada 13 H. Namun begitu, tentera Parsi yang dipimpin oleh Rustum telah mencapai kemenangan sehingga Abu Ubaid dan Sulait sendiri terbunuh. Untuk menebus kekalahan tersebut, Khalifah Uamr Al-Khattab telah menghantar satu pasukan tentera pimpinan bersama Al-Muthana dan Jarir bin Abdullah dan berhasil mengalahkan tentera Parsi.
Kemenangan ini mendorong Khalifah Umar Al-Khattab untuk melantik Saad bin Abi Waqas mengetuai angkatan tentera seramai 10,000 orang untuk menghadapi tentera Parsi yang berjumlah 120,000  orang pimpinan Rustum. Ketika bertemu, kedua-dua belah pihak cuba mencari jalan penyelesaian agar peperangan tidak berlaku namun gagal. Akibatnya, tercetuslah Pertempuran Al-Qadisiyah yang hebat selama tiga hari yang menyebabkan kekalahan teruk di pihak Parsi, sementara tentera Islam telah memperoleh banyak harta rampasan perang. Tentera Islam akhirnya meneruskan kemaraan dengan merampas Bahrain yang terletak di bahagian bandar Madain. Seterusnya, tentera Islam telah menyerang Helwan dan berjaya menawannya.
Kemudian, tentera Islam telah bertempur dengan 100 ribu orang tentera Parsi pimpinan Firzan di Nihawand. Dalam Pertempuran Nihawand pada 19 H ini, tentera Islam telah mencapai satu kemenangan gemilang. Bagi menamatkan siri ini, tentera Islam terus menakhluki Ahwaz, Kashan, Qam dan Azerbaijian.
Lain-lain Bidang
Khalifah Umar bin Al-Khattab telah memperkenalkan takwim Islam (kalendar Hijrah)  buat pertama kalinya.
Pendapat Penulis
Kehebatan dan kebijaksaan Khalifah Umar Al-Khattab memang tidak dapat dinafikan lagi dengan corak pemerintahannya yang adil dan telus serta perancangan pentadbirannya yang mendahului zaman selepasnya adalah agak mengagumkan. Beliau patut dicontohi kerana sifatnya itu terutamanya kepada para pemimpin pada masa kini dan akan datang. Alangkah bertuahnya dunia ini atau secara khususnya negara Malaysia jika terdapat pemimpin seperti Umar Al-Khattab yang memimpin kita pada masa ini.
Bagi memudahkan pembaca lebih memahami mengenai susur galur tindakan dan pahit getir yang terpaksa dihadapi oleh manus
ia agung ini, disini saya lampirkan rujukan untuk pembaca gunakan bagi mengkaji lebih lanjut tentang khalifah kedua Islam ini.




sms : Umarku sayang, hiduplah seindah yang namanya Umar.