Showing posts with label ILMU. Show all posts
Showing posts with label ILMU. Show all posts

Monday, June 16

Baca Buku : Ibrah Al Fateh


Sesetengah manusia membuat analogi, bahawa sesungguhnya, hidup ini umpama sebuah kapal yang berlayar di lautan luas. Sedikit canggung bunyinya, namun saya amat bersetuju.

Sempadan samudera biru cukup luas. Tidak terlihat dek mata meski diakui kewujudannya. Sebuah kapal yang berlayar, jauh membelah lautan, meredah ombak dan badai, menuju destinasi idaman, amat butuh kepada dua perkara asasi. Kecukupan bahan bakar untuk terus berlayar dan kejelasan destinasi yang ingin ditujui. Datangkanlah nakhoda sejaguh mana sekalipun, pilihlah meranti terbaik di belantara untuk dijadikan kayan kapal tersebut atau rentanglah kain layar selebar langit Tuhan untuk dijadikan layar pelayaran, namun, jika tidak cukup bahan bakarnya dan tidak tahu hendak ke mana, usah menjadi umpama Laila yang menanti bulan jatuh ke ribanya.

“Bahan bakar” dan “destinasi” adalah dua rahsia daripada jutaan rahsia yang menjadi inti sebuah kegemilangan. Dalam cubaan menterjemah dua kalimah ini ke alam realiti, saya menemui jodoh tertepatnya adalah bekalan dan inspirasi atau matlamat. Mengapa dua kalimah ini?

Bekalan atau bahan bakar adalah sumber tenaga untuk bergerak. Untuk terus mara ke hadapan. Manakala, inspirasi atau matlamat adalah dorongan dan keinginan yang jitu terhadap sesuatu sasaran untuk dicapai. Mudah bicara, tahu hendak ke mana dan cukup bekalan untuk bergerak, maka akan sampai ke destinasi tujuan atau terhasil kejayaan.

Dunia menyaksikan, dalam tahun-tahun yang sudah berlalu, bahawa telah lahir ikon dunia dengan kejayaan tersendiri mereka. Adakalanya, ia bersifat peribadi. Tidak kurang juga, kejayaan tersebut memberi sumbangan yang signifikan dan impak yang cukup maksima dalam kehidupan. Penciptaan roda, telefon, mentol, formula kalkulus, dan pelbagai lagi penemuan agung muncul satu demi satu mengisi keperluan manusia.

Saya mengambil sebentar tumpuan sekalian pembaca budiman. Tolehlah ke belakang dan lihat keagungan sejarah milik kita. Meski sudah berlalu, namun bekas kegemilangan Islam masih ada dek kerana dalamnya kesan yang ditinggalkan. Menanti untuk dihidupkan kembali.

Muhammad Al-Fateh dan tenteranya adalah bukti kebenaran janji Ilahi menerusi kata-kata kekasih-Nya:


“Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kehebatan kisah ini dirakam dalam sebuah puisi perjuangan:

Utusan Tuhan bersabda,
Benarkan satu ketika,
Derapan kuda kan tiba,
Bebaskan Kota di Roma.

Tentera Fateh pun datang,
Hadis Nabi kuatkan iman,
Layar kapal rentas daratan,
Tanduk Emas dibantu Tuhan.

Tujuh puluh kapal pun tiba,
Byzantin gegak gempita,
Dua ratus ribu tentera,
Mimpi buruk sudah pun tiba.

Lapan ratus tahun penantian,
Konstantin akhir ditawan,
Panji Islam dikibar Hasan,
Tubuh syahid jiwa dikorban.

Itulah si anak muda,
Beraksi menggegar dunia,
Dialah sebaik raja,
Merekalah sebaik tentera.

Demikian kisah ini ditinta dengan darah dan jiwa mereka. Demi menghirup nikmat redha Tuhan.

Walau bagaimanapun, ketika kita menyelusuri kisah Al-Fateh dan tenteranya, acap kali kita terlepas pandang satu noktah besar. Satu noktah yang secara tidak sengaja tersembunyi.

Bolehkah kita katakan, Al-Fateh itu kehebatannya datang secara tiba-tiba? Secara ajaib? Bagaimana susuk tubuh itu mampu memerintah 20 buah negara pada usia 19 tahun? Apakah pengalaman berharga yang pernah dilaluinya? Dengan siapa proses itu dilalui? Siapa yang membinanya? Siapa guru kepada Al-Fateh?

Sheikh Aq Shamsuddin adalan insan yang telah membentuk keterampilan dan wibawa baginda sultan. Seorang yang faqih ilmu syara’ dan mengasuh Al-Fateh sejak kecil. Perkembangan baginda diperhati dengan begitu rapi dan teliti. Al-Fateh dididik meninggalkan kemewahan sejak kecil, dibina jiwanya atas akidah dan ilmu syara’ yang jitu, dan dikembang keilmuan dan pengetahuan lain seperti seni peperangan, urus tadbir negara, kemampuan mengawal emosi dan lain-lain lapangan ilmu. Tinggal di dalam istana ayahandanya tidak menjadikan Al-Fateh mabuk dunia. Bahkan, malam harinya diisi dengan tangisan merindui kekasih hakiki dan siangnya tangkas memimpin dan berbakti.

Sheikh Aq Shamsuddin memenuhkan jiwa Al-Fateh dengan bekalan yang mencukupi dan menjelaskan dengan sebenar-benar penjelasan tentang destinasi yang harus ditujuinya. Holistiknya pemahaman terhadap Islam yang meliputi aspek negara dan watan, pemerintahan dan ummat, akhlak dan kekuatan serta rahmat dan keadilan, pengetahuan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman, juga kebendaan dan harta serta usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah. Semua ini berdiri atas asas akidah yang benar dan kukuh serta ibadah yang sah. Kefahaman yang jelas ini mengalir panas dalam pembuluh darah baginda sultan sehinggakan diterjemah dengan pembukaan Kota Konstantinopel. Begitu besar kesan yang ditinggalkan sang guru kepada anak didiknya.

Demikian realiti seorang guru. Menjadi pemangkin kepada pembangunan sebuah peradaban yang dikagumi.

Bahan bakar dan destinasi tujuan yang dinyatakan pada awal penulisan diadun sebati di tangan seorang insan bergelar guru adalah formula mujarab kepada kemajuan. Secara peribadi, cermin diri kita sendiri. Di mana kita berada sekarang. Kita lihat, apa pencapaian kita, apa pola perubahan kehidupan yang pernah kita lalui, ketika keluarnya kita dari dunia gelap kepada terang sinar mentari dan ke mana hala tuju kita seterusnya, siapa menjadi pemula kepadanya. Sedar atau tidak, di sebalik setiap pencapaian itu, berdiri kukuh seorang insan bergelar guru menunjukkan jalan dan mempersiapkan kita menghadapi hari-hari muka. Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Profesion seorang guru mampu menjadi penentu jatuh bangunnya sebuah tamadun manusia. Kerjaya mendidik adalah satu perlaburan jangka panjang yang amat bermanfaat. Kerana hasilnya terhadap seorang pelajar, akan dia secara individu rasai dan masyarakat secara keseluruhannya nikmati setelah puluhan tahun berlalu. Memetik kata-kata Tsun Zhu, seorang panglima dari China: ‘untuk membina sebuah tamadun yang hebat, ahlinya perlulah sanggup menyemai benih-benih harapan dan menanam pokok-pokok impian yang mana tidak akan mereka nikmati enak ranum buahnya’

Bermula zaman Nabi Muhammad SAW, proses pendidikan dan pembinaan modal insan amat dititik beratkan. Ia adalah tunjang kepada dakwah baginda. Sahabat awal yang memeluk Islam seperti Abu Bakar, Zubair bin Awwam, Ali bin Abi Talib, Talhah, dan Bilal adalah di kalangan sahabat yang pernah melalui asuhan baginda Rasul di rumah Arqam. 
Ayat-ayat cinta Ilahi turun lembut menyapa hati dan jiwa mereka umpama menitisnya air di atas kerasnya batu. Akhirnya melekuk dan berbekas. Jiwa sanubari manusia akan sangat responsif terhadap benarnya kalimah suci Tuhan. 
Matlamat daripada proses murni ini adalah untuk menanam dalam hati nurani dan sanubari para sahabat, bahawa agama adalah satu sistem hidup Ilahi yang diatur untuk sekalian umat nanusia. Satu sistem mutlak yang mampu menyeimbangkan kestabilan antara alam buana dan jiwa manusia. 
Di situ sekalian sahabat menemui bekalan terbesar dan destinasi tujuan sebenar di sebalik rahsia penciptaan mereka. Maka bertebaranlah mereka ke seluruh pelusuk alam menyampaikan dan menyambung laungan dakwah nabi yang berseru di atas Bukit Safa. Sehingga kini, seru jeritan itu bersambung terus menerus bertukar susuk penyeru sehingga sampai ke jiwa kita.

Demikian peri pentingnya seorang guru dan proses pendidikan untuk membina sebuah peradaban.

Berlalunya zaman sahabat, berganti penyeru lantas memayungi ummat. Imam Ahmad, gemar bersama masyarakat dan anak-anak muda dalam majlis-majlis mereka. Lalu, beliau mengenali mereka, menasihati mereka, mendidik, dan menunjukkan hakikat kehidupan yang sebenar. Begitu si Imam mengimani bahawa generasi muda perlu dididik. Dialah imam, dialah guru.

Seruan itu juga disambut dan disampaikan oleh golongan manusia masa kini. Bersumberkan intipatinya yang sama. Dua pedang yang menjadi tonggak muslim, Al-Quran dan Sunnah adalah titik kembali yang sama antara kita dan mereka. Seorang pejuang Islam, Sheikh Mustafa Masyhur menyatakan dalam salah satu karyanya (Jalan Dakwah):

“dalam fasa pembinaan dan penyediaan individu yang terbaik, sudut utama dan terpenting yang perlu diberi penekanan lebih adalah membangkitkan jiwa daripada kelesuan yang panjang.”

Juga Allah berfirman,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (Surah Ar Ra’d: 11)

Sememangnya, sejarah menyaksikan, jasa seorang insan bergelar guru tidak mungkin terpadam. Bergantilah tokoh-tokoh hebat di sekeliling kita, pasti sebelum itu, dalam memulakan pelayaran kehidupan yang jauh dan panjang, untuk mengumpul bekalan dan mengetahui destinasi tujuan, pernah mendapat sentuhan manusia dipanggil guru. Yang mana telah lebih awal bersama tokoh tersebut saat dia belum ada apa-apa dan belum bergelar sesiapa. Kudrat dan keringat yang mengalir tidak diharapkan apa-apa melainkan hanya mahu menyaksikan anak didiknya mampu menjadi lebih baik daripada dirinya.

Buat sekalian jiwa yang membaca, ingat kembali bagaimana kita boleh berada di sini. Bagaimana banyak tenaga yang dicurahkan guru dalam mendidik kita, melayani setiap kerenah, mengisi penuh bekal-bekal perjalanan, dan meluruskan destinasi tujuan. Kuatkan usaha dan azam dalam belajar kerana suatu hari nanti, kita pula akan menjadi sebahagian batu bata kepada binaan Islam yang agung. Jangan terlalu asyik mendongak purnama di langit sehingga terlupa hijaunya rumput di bumi.

Kepada sekalian guru, teruskan kegigihan mara melangkah kehadapan untuk mendidik dan membina ummat tercinta. Walau betapa penat anggota badan dan kusut masai pemikiran, yakinlah bahawa setiap usaha kalian untuk membina generasi harapan adalah saham-saham yang akan memastikan Islam kembali tertegak ke kedudukan asalnya semula. Hanya Tuhan Yang Satu mampu membalas gunungan tinggi jasa kalian kepada kami.

“Kapal sudah di pelabuhan,
Peta sudah di tangan,
Sauh sudah diangkat,
Layar telah dibuka,
Bahan bakar sedang membara,
Destinasi tujuan menjadi inspirasi bersama,
Segalanya dimulakan oleh seorang insan biasa,
Dengan lembut sabarnya dia mengajar,
Mengaji, mengeja, membaca, menulis, dan mengira.”


Oleh: Muhammad AD bin Satiman,
Tahun 2, Kuliah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar (Kaherah)






Friday, January 11

Tadah tangan.


Ya Allah, 
pinjamkanlah kami, 
keberanian Umar Al-Khatab, 
ketangkasan Khalid Al-Walid, 
kecekalan Thariq Bin Ziad, 
kekentalan Salahudin Al-Ayubi dan 
ketajaman Sultan Muhammad Al Fatih 

Jadikanlah kami orang yang 
selembut Abu Bakar As-Siddiq, 
sebijaksana Umar bin Khattab, 
sedermawan Uthman bin Affan, 
sepintar Ali bin Abi Thalib, 
sesederhana Bilal & 
setegar Khalid bin Walid 

"Ya Allah, berikanlah kami kemudahan dibalik kesulitan. 
Siramilah hati kami dengan kecintaan ilmu 
menghapus kegersangan hikmah. 
Anugerahilah kami jiwa yang berkasih sayang 
jauh daripada kebencian. 

Hembuskanlah kekuatan saat ranting hati kami makin rapuh. 
Sinarilah hati kami dengan cahaya keimanan membuah amalan.
 Gagahkanlah hati kami tika berada dalam ketidakyakinan. 
Ikhlaskanlah hati kami dalam setiap ketaatan dan kepatuhan. 
Bahagiakanlah hati kami walau terselit ujian kedukaan. 

Lindungilah kami dari segala hasutan dan bisikan kemaksiatan. 
Kurniakanlah kami kejayaan fiddarain, fiddunya wal akhirah. 

Ameen Ya Rabbal 'Alameen"




Saturday, March 10

PBS with BFF at SKM


PBS with BFF at SKM

Program Berasaskan Sekolah bersama Best Friend Forever di Sekolah Kebangsaan Mengkuang.


Ini BFF saya. =) 
geng PBS first yang banyak membantu dalam menjadikan PBS pertama ini indah, menarik dan berharga,
Thanks SAHABAT !

Mereka adalah classmate saya Piya (roommate comel) dan Khalim.
IPG Tuanku Bainun : Ikhlas, Abu dan Khalid
IPG Perlis : Shafik

Aktiviti PBS :

assigment dari sekolah dan IPG..( huhu..yg IPG dop siap gik ni. ) aduii
relief kelas : Kelas Bestari, Cemerlang, Potensi dan Wawasan..
kelas yang mencabar ialah kelas Wawasan ! ( Moga terus berwawasan wahai murid2..nyanyi2 lagu Wawasan UNIC =p )
dan banyak lagii...=)

Arkitek bangsa yang memanusiakan manusia.
Once a teacher always a teacher.
Bukan hanya guru yang menilai murid tetapi murid juga menilai guru.
Nak jadi cikgu bukan senang. Gurulah segala-galanya. Doktor? Peguam? dll.
Mulianya kerjaya guru.Murobbi. 
Besarnya amanah yang dipikul.
Umpama lilin yang membakar diri. Berkorban untuk menerangi jalan hidup anak didiknya.
Erti kesabaran sebenar. belajar bersabar~!







Sunday, February 5

SALAMMAULIDURRASUL :)




'sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara , yang mana sekiranya kamu berpegang kedua-duanya , necaya kamu tidak akan sesat selamanya ; iaitu , AL-QURAN DAN SUNNAHKU -wasiat RASULLULAH


SALAMMAULIDURRASUL :) 














Suatu hari.. Nabi Muhammad SAW bertanya :
"Siapakah hamba Allah yang mulia?"

Sahabat menjawab : 
"Para malaikat Ya Rasulullah"

Sahabat yang lain :
"tentulah para nabi, merekalah yang mulia"

Nabi tersenyum lalu berkata :
"Ya, mereka mulia, tetapi ada yang lebih mulia"

Para sahabat terdiam lalu berkata :
"Adakah kami yang mulia itu Ya Rasulullah"

Nabi berkata :
"Tentulah kalian mulia, kalian dekat denganku, tapi bukan kalian yang aku maksudkan"

Nabi menundukkan wajahnya, baginda menitiskan airmata sehingga membasahi pipi dan janggutnya, lalu berkata :
" Wahai sahabatku, mereka adalah manusia-manusia yang lahir jauh setelah wafatnya aku, mereka terlalu mencintai Allah & tahukah kalian, mereka tidak pernah melihatku, mereka tidak dekat denganku seperti kalian, mereka sangat rindu kepadaku dan saksikanlah wahai sahabatku bahawa AKU SANGAT RINDU PADA MEREKA.. MEREKALAH UMMATKU! UMMATI! UMMATI! UMMATI!"-


Allahumma soli'ala saiyidina Muhammad waa'la ali wasahbihi wabaarik wasallim'... Salam Maulidur Rasul 




Monday, December 12

Arkitek Bangsa


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Hari ini kita akan berkongsi mengenai, arkitek bangsa. siapa arkitek bangsa? yang mereka banggunan tu ke? bukan bukan. jum kita baca lagi.

sebelum bercerita dengan lebih terperinci tentang arkitek bangsa, kita selusuri dahulu kisah agung ' Kisah Nabi Muhammad S.A.W'. Sejarah agung Rasulullah tatkala menerima wahyu daripada Allah mengenai utusannya sebagai rasul untuk menerangi kegelapan umatnya ketika itu. siapa perantara antara Allah dan Nabi Muhammad S.A.W? Dia adalah Malaikat Jibrail yang menjadi Guru kepada Nabi Muhammad.
Jibrail pun menyuruh dan megajar Nabi Muhammad membaca Surah Al-Alaq.
ketika itu Nabi Muhammad tidak tahu membaca.

Iqra' (bacalah) - Jibrail menyuruh Nabi Muhammad membaca
ma' aqra'(aku tidak tahu membaca) - jawab Nabi Muhammad dalam ketakutan.
mendengar jawapan itu, Jibrail memeluk baginda. baginda merasa seakan lemas barulah dilepasakan Jibrail.
Iqra' (bacalah) - Jibrail menyuruh Nabi Muhammad membaca lagi
ma' aqra'(aku tidak tahu membaca) - jawab Nabi Muhammad.
"Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan, yang menjadikan manusia dari segumpal darah.
bacalah. dan Tuhanmulah yang mulia , yang mengajar manusia dengan qalam, mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya"
demikian malaikat Jibrail membacakan ayat dari Surah Al Alaq dan Nabi Muhammad mengikutinya.

itulah sejarah dimana Jibrail menjadi guru kepada Nabi Muhammad. 

jika diimbas kembali sirah Rasulullah s.a.w menerima wahyu daripada ALLAH yang disampaikan oleh malaikat jibril. Jibril  adalah guru kepada Rasulullah. Dalam sebuah hadis ada diceritakan sahabat-sahabat baginda pernah melihat Jibril datang menyampaikan wahyu kepada baginda. Ketika itu Jibril datang dalam keadaan menyerupai seorang tua.
Selepas beredarnya Jibril, barulah baginda memberitahu orang tua yang datang itu adalah Jibril. Rasulullah  telah menunjukan sikap baginda pada sahabat-sahabatnya ketika itu bagaimana sopan dan tertibnya baginda menerima wahyu daripada Jibril.

Rasulullah adalah guru yang terbaik, tidak ada yang boleh menandingi sikap sabar, lemah lembut, tabah dan segalanya ketika baginda berhadapan dengan berbagai-bagai makhluk di atas muka bumi ini. Rasulullah s.a.w menyampaikan amanah Allah dengan penuh jujur, walau dicaci, dilempar dengan tahi, dicop sebagai orang gila dan sebagainya, Rasulullah s.a.w tetap tidak berganjak atas usaha untuk melihat umatnya mentaati perintah Allah. Hikmah Allah menentukan setiap nabi-nabinya memelihara kambing kerana sifat degil kambing ada pada manusia dan menjadikan nabi-nabinya sabar, kuat, tabah, cekal sebelum menghadapi manusia yang punya nafsu, akal dan bermacam-macam ragam perangai manusia.

Guru Mesti ada sikap mengajar (mu'allim) dan mendidik (murabbi).


Satu lagi tentang hadis Rasulullah s.a.w untuk guru-guru dan bakal guru boleh amalkan.

Maksud hadis :
Apabila matinya anak adam akan terputus amalannya kecuali tiga perkara :-
1. Sedekah jariah.
2. Ilmu yang manfaat.
3. Anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.

Hikmahnya ketiga-tiga perkara ini ada pada seorang guru.

1. Sedekah bukan sahaja hanya pada wang semata-mata, tetapi seorang guru setiap hari menyalurkan sedekah ilmunya, masanya, wang ringgitnya, pengorbanannya dan sebagainya.
2. Guru-guru yang menyampaikan ilmunya, anak-anak muridnya akan bertambah dan akan terus menyampaikan ilmu yang diajarnya, walaupun dia telah meninggal ilmunya tetap kekal.
3. Guru-guru sentiasa mendapat doa daripada anak-anak muridnya dan seluruh insan yang sayang padanya.

Lihatlah begitu besar pahala seorong guru yang ikhlas, pahalanya sentiasa mengalir dan menjadi bekal dialam barzah serta menjadi hujah pendiding menyelamatkannya dari api neraka. Insya-Allah, marilah kita menjadi penyambung legasi murni para nabi ini.

Mesej : Sumber idea dari SINI
GPRS :  Jadilah guru yang hadirnya dinanti, perginya dirindui.






Saturday, December 10

Bila Bulan Derita Sendiri



BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Hari ini hari SABTU, bersamaan 10 DISEMBER 2011 dan 15 Muharam 1433 H.
Satu fenomena yang indah telah berlaku.
apa dia???

GERHANA BULAN

 tengok gambar ini,


bagaimana ia berlaku..=)
fenomena ini berlaku apabila Matahari, Bumi dan Bulan berada sebaris..
macam ni..

FOKUS : gambar yang bawah tu GERHANA BULAN


Mesej : boleh tinjau laman INI untuk maklumat lanjut tentang gerhana bulan.
untuk maklumat mengenai solat gerhana boleh klik SINI

GPRS : Hayati fenomena ini dan renungi kisah hidup kita yang semakin singkat usianya.

MMS: Say " Subhanallah"

Iphone : Banyakkan berzikir dan mengingati mati

Sayasendiri: Ingatan untuk diri yang lemah ini juga.Selamat Malam.

Jazakallahukhoirankasiran..=)







Solat Gerhana Cara Nabi


Tatacara Solat Gerhana Cara Nabi
SOLAT GERHANA (KUSUF & KHUSUF)
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
(Dinukil dari buku saya bertajuk Panduan Solat Sunat Cara Nabi S.A.W.)

Gerhana bulan adalah apabila bumi melindungi bulan dari cahaya matahari sehingga menyebabkan bulan kelihatan gelap. Gerhana matahari pula adalah apabila bulan melindungi bumi dari matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak menerima cahaya dari matahari. Terdapat juga sesetengah pihak tatkala apabila mengalami peristiwa gerhana bulan mahupun matahari, namun mereka hanya melihat kejadian ini sebagai satu perkara yang luar biasa. Tidak kurang pula yang mengaitkannya dengan perkara-perkara mistik. Namun kejadian gerhana ini hanyalah merupakan di antara tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mentadbir seluruh alam. Apabila terjadi gerhana bulan mahupun matahari maka disunnahkan bagi kita untuk mengerjakan solat Solat Sunat Gerhana Bulan (Kusuf) dan Gerhana Matahari (Khusuf)

HUKUM SOLAT GERHANA
Para ulamak telah sepakat bahawa disyariatkan mengerjakan solat sebanyak dua rakaat sekiranya terjadi gerhana.
Menurut Ibn ‘Umar radhiallahu’ anh, Nabi s.a.w bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَصَلُّوا
Maksudnya:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1042.
Namun, para ulamak berbeza pendapat tentang hukum perlaksanaan solat Gerhana tersebut. Syeikh Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul pula menguatkan pendapat bahawa solat Gerhana ini hukumnya sunat mu’akkadah bersandarkan hadis berikut:

خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat, matahari telah kelihatan. Seterusnya baginda berkhutbah di hadapan manusia dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya, kemudian bersabda:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat hal itu itu maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, bersolat dan bersedekah.
Kemudian baginda bersabda: Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada seorangpun yang lebih cemburu daripada Allah apabila hamba-Nya sama ada lelaki atau wanita melakukan perzinaan. Wahai umat Muhammad! Sekiranya kamu semua mengetahui apa yang aku ketahui pasti kamu semua akan tertawa sedikit dan lebih banyak menangis. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Dapat dikatakan di sini bahawa dalil yang terkandung di dalam hadis merupakan perintah agar mengerjakan solat itu berserta perintah agar bertakbir, berdoa dan bersedekah. Namun, tidak ada seorangpun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir dan berdoa ketika terjadi gerhana. Oleh itu, menurut kesepakatan ijmak bahawa perintah tersebut bersifat sunat. – Rujuk Bughyat al-Mutatowwi Fi Solah al-Tatowwu' karya Syeikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul, edisi terjemahan bertajuk Meneladani Solat-Solat Sunnah Rasulullah s.a.w, Pustaka Imam al-Syafie, Bogor (2005), ms. 140-141.

Tetapi, tanggapan ulamak berijmak (sepakat) bahawa solat Gerhana ini hanyalah sunat mu’akkadah kurang tepat kerana terdapat juga ulamak yang mewajibkannya. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:

Majoriti ulamak mengatakan hukumnya adalah sunnah mu’akkadah (sunnah yang amat dituntut). Tetapi, Abu 'Awanah di dalam shahihnya menyatakan bahawa hukumnya adalah wajib. Aku tidak pernah menemui ulamak yang berpendapat sedemikian selain beliau kecuali apa yang dinukil daripada Malik yang menyamakannya dengan hukum solat Jumaat. Ibn al-Manayyar menukilkan daripada Abu Hanifah bahawa menurutnya hukum solat Gerhana adalah wajib. Demikian juga dinukilkan oleh sebahagian penulis kitab mazhab Hanafi. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani tahqiq Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz, edisi terjemahan dengan tajuk Fath al-Bari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 6, ms. 4.

Syeikh al-Albani rahimahullah pula menyokong pendapat bahawa solat Gerhana ini hukumnya wajib. Menurut beliau:

Inilah pendapat paling unggul (iaitu wajib solat Gerhana) dan untuk membuktikan penjelasan berikut ini, menurut pendapatku sesiapa yang mensunatkannya bererti dia telah mengabaikan perintah-perintah yang datang daripada Nabi s.a.w mengenai solat Gerhana tanpa ada dalil yang boleh menolak hukum asalnya, iaitu wajib. Al-Syaukani lebih cenderung kepada hukum wajib sebagaimana dinyatakan di dalam al-Sail al-Jarrar, jilid 1, muka surat 323 dan dipersetujui oleh Shadiq Khan di dalam al-Raudoh al-Nadiyyah. Inilah pendapat paling sahih. – Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, edisi terjemahan dengan tajuk Tamamul Minnah Komentar Dan Koreksi Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Sayyid Sabiq, Maktabah Salafy Press,Jakarta (2002), jil. 1, ms. 329.

Syeikh al-‘Utsaimin rahimahullah pula menegaskan bahawa majoriti ulamak menyatakan solat Gerhana adalah sunat mu’akkadah. Namun, sebahagian ulamak menyatakan ia wajib sama ada termasuk kategori fardu ‘ain atau fardu kifayah kerana terdapat perintah daripada Rasulullah s.a.w agar mengerjakan solat itu. Malah, perintah itu menunjukkan wajib.

Setelah itu, beliau menguatkan pandangan bahawa hukum solat Gerhana adalah wajib katanya:

Tidak diragukan lagi bahawa dalil ini cukup kuat baik dari sumber riwayat mahupun melalui pengkajian cerdik pandai agama. Paling tidak ia termasuk kategori fardu kifayah. Inilah menurut pendapat kami. Manakala pendapat jumhur, mereka tidak memiliki dalil yang menunjukkan perkara itu tidak wajib kecuali sabda Nabi s.a.w kepada seorang lelaki yang bertanya kepadanya:
Apakah ada lagi selain itu (selain kewajipan solat lima waktu)? Baginda menjawab: Tidak! Kecuali solat sunat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Imaan, no: 46.
Hal ini tidak bererti menolak kewajipan solat-solat selain solat lima waktu apabila wujud sebab yang mewajibkannya. Apa yang dimaksudkan dengan kalimah nafi 'tidak!' sebagaimana sabda baginda s.a.w, iaitu berkaitan solat-solat rawatib yang selalu berulang setiap hari. Mengenai solat-solat yang berkait dengan sebab-sebab tertentu, maka hadis ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak kewajipannya.

Kesimpulannya, kami memandang bahawa solat Gerhana adalah wajib sama ada fardu atas setiap individu (fardu ‘ain) atau fardu kifayah (memadai dikerjakan oleh sebahagian kaum muslimin sahaja). – Rujuk Kitab Majmu’ Fatawa Arkanil Islam karya Syeikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, edisi terjemahan dengan tajuk Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Akidah dan Ibadah, Pustaka Arafah, Solo (2002), jil. 1, ms. 429-430.
Dengan ini, dapat kita fahami bahawa perlaksanaan solat Gerhana ini adalah satu perkara yang dipandang besar di kalangan para ulamak sehingga ada yang mewajibkannya. Pengajian hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu amalan itu hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan atau tidak.

Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu sunnah itu sabit daripada hadis yang sahih maka mereka akan berusaha mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam:
Seorang muslim sewajarnya mematuhi syariat tanpa memandang apakah ia fardu atau sunat. Apa yang penting dia melakukan kerana mematuhi syariat Allah semata-mata mengikuti sunnah Nabi-Nya dan mengharapkan ganjaran pahala. Pembahasan mengenai hukum hanya diperlukan ketika berlaku suatu waktu ingin meninggalkannya. Ketika itu apakah sunnah yang akan ditinggalkannya itu sesuatu yang wajib atau sunat (agar tidak bergelumang dengan dosa meninggalkan sunnah). Oleh itu, menjadi kewajipan seorang hamba agar serius beribadah. Manakala dalam kajian ilmiah dan mengetahui hukum-hukumnya bertujuan mengetahui antara yang fardu dan yang sunat. - Rujuk Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram karya Syeikh Abdullah Abdul Rahman al-Bassam, edisi terjemahan dengan tajuk Syarah Bulughul Maram, Pustaka Azzam, Jakarta (2006), jil. 1, ms. 217.

TATACARA MENGERJAKAN SOLAT GERHANA

Waktu Dikerjakan Solat Gerhana.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat matahari telah kelihatan. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Hadis di atas merupakan dalil tentang waktu harus dikerjakan solat Gerhana, iaitu bermula terjadinya gerhana sehingga berakhirnya gerhana. Sungguhpun begitu, sekiranya kita telah menyelesaikan perlaksanaan solat Gerhana namun gerhana tersebut belum berakhir, kita hendaklah memperbanyakan berdoa dan berzikir.

Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah:

Lafaz ini (hingga matahari kelihatan) merupakan dalil tentang lamanya solat Gerhana, iaitu hingga matahari nampak kembali. Al-Tohawi berpendapat bahawa di dalam hadis dinyatakan hendaklah kamu semua solat dan berdoa. Dalam erti kata lain, jika kita selesai melaksanakan solat Gerhana, namun matahari masih belum juga kelihatan, kita hendaklah memperbanyakan berdoa sehingga gerhana berakhir.
Ibn Daqiq al-'Id menguatkan lagi pendapat ini bahawa had waktu tersebut (antara mula gerhana hingga matahari muncul kembali) adalah had waktu untuk solat dan berdoa. Malah bermungkinan doa tersebut boleh dilakukan setelah selesai solat hinggalah matahari muncul kembali. Oleh itu, solat Gerhana tidak harus dilakukan terlalu lama atau mengulanginya beberapa kali jika matahari belum kelihatan sehingga matahari muncul (gerhana berakhir). – Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 6, ms. 6.

Dikerjakan Di Masjid Secara Berjemaah Oleh Lelaki Dan Wanita.
Perlaksanaan solat Gerhana ini adalah secara berjemaah. Ia dilaksanakan di masjid dan bukan di musolla, iaitu tanah lapang seperti solat hari raya dan istisqa’ (mohon hujan).

Imam Syafie rahimahullah berkata:
Solat ketika terjadi gerhana matahari dan bulan diadakan secara berjemaah. Solat seperti ini tidak dilakukan pada tanda-tanda kebesaran Allah yang lain kecuali hanya pada gerhana matahari dan bulan. – Rujuk Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafie, ringkasan dan tahqiq oleh Husain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, edisi terjemahan dengan tajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 1, ms. 341.

Dalil tentang disyariatkan perlaksanaan solat Gerhana secara berjemaah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu’ anha katanya:

خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَكَبَّرَ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid dan orang ramai berbaris di belakangnya lalu baginda bertakbir. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.

Solat Gerhana ini bukan hanya dikerjakan oleh kaum lelaki malah kaum wanita juga boleh turut serta mengerjakannya secara berjemaah.

Menurut Hisyam bin 'Urwah radhiallahu’ anh, Fatimah Binti al-Mundzir radhiallahu’ anha telah meriwayatkan daripada Asma' binti Abu Bakar radhiallahu’ anhuma katanya:



أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَإِذَا النَّاسُ قِيَامٌ يُصَلُّونَ وَإِذَا هِيَ قَائِمَةٌ تُصَلِّي...
Maksudnya:
Aku telah menemui Aisyah radhiallahu’ anha ketika terjadi gerhana matahari. Ternyata manusia berdiri mengerjakan solat. Begitu juga Aisyah berdiri mengerjakan solat. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1053.

Namun, sekiranya solat Gerhana itu tidak dilakukan secara berjemaah ia tetap sah. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah, dalil yang mengharuskan solat Gerhana dikerjakan secara besendirian sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w

فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ
Maksudnya:
Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (matahari dan bulan mengalami gerhana), bersegeralah solat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.

Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah berkata:

Berdasarkan lafaz ini dapat disimpulkan bahawa berjemaah bukanlah syarat sahnya solat Gerhana. Ini kerana terdapat terdapat isyarat di sini agar segera melaksanakan solat. Sedangkan menunggu jemaah kadang-kadang mengakibatkan waktu solat tamat atau membiarkan sebahagian waktu tanpa diisi dengan solat. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 6, ms. 29.

Hendaklah Diserukan As-solatu Jami'ah Atau Innas Solata Jami'ah Sebelum Memulakan Solat.

Tidak ada seruan azan sebelum didirikan solat Gerhana tetapi disunnahkan melaungkan as-solatu jami'ah ataupun innas solata jami'ah.

Imam Syafie rahimahullah berkata:

Tidak ada laungan azan untuk solat Gerhana, solat hari raya, dan semua solat yang bukan solat fardu. Aku lebih menyukai imam agar memerintahkan seseorang meneriakkan as-solatu jami'ah. – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344-345.

Abdullah bin Amr radhiallahu’ anh berkata:

لَمَّا كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ
Maksudnya:
Ketika terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w, lantas diserukan innas solata jami'ah (sesungguhnya solat berjemaah akan didirikan). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1045.

Dikerjakan Sebanyak Dua Rakaat.

Jumlah rakaat solat Gerhana adalah dua rakaat sahaja. Syeikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

Jumhur ulamak mengatakan bahawa solat itu (gerhana) dilakukan dua rakaat dan setiap rakaat dengan dua kali rukuk. – Rujuk Kitab Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Sayyid Sabiq, edisis terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur (1990), jil. 1, ms. 74.

Abu Bakrah radhiallahu’ anh berkata:

خَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى انْتَهَى إِلَى الْمَسْجِدِ وَثَابَ النَّاسُ إِلَيْهِ فَصَلَّى بِهِمْ رَكْعَتَيْنِ فَانْجَلَتْ الشَّمْسُ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas baginda keluar sambil menarik atau menyeret rida' (kain yang diletakkan di atas bahu) hingga sampai ke masjid dan orang ramai telah berkumpul di sekelilingnya lalu baginda solat dua rakaat mengimami mereka. Kemudian matahari bersinar kembali. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1063.

Diperpanjangkan Bacaan Dalam Solat Gerhana.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memperlamakan berdiri. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah ketika menjelaskan tentang baginda memanjangkan berdiri katanya:

Dalam riwayat Ibn Syihab disebutkan:

فَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً
Maksudnya:
Maka baginda membaca dengan bacaan yang panjang.
Manakala pada bahagian akhir perbahasan tentang solat melalui jalur lain daripada Ibn Syihab disebut pula maka baginda s.a.w membaca surah yang panjang. Disebutkan dalam hadis Ibn Abbas yang akan disebutkan setelah empat bab:


فَقَرَأَ نَحْوًا مِنْ سُورَة الْبَقَرَة فِي الرَّكْعَة الأُولَى

Maksudnya:
Baginda membaca ayat seperti panjangnya surah al-Baqarah pada rakaat pertama.

Abu Daud meriwayatkan riwayat yang serupa melalui jalur Sulaiman bin Yasar daripada Urwah sambil menambah lafaz:


قَرَأَ فِي الْقِيَام الأَوَّل مِنْ الرَّكْعَة الثَّانِيَة نَحْوًا مِنْ آل عِمْرَان
Maksudnya:
Baginda s.a.w membaca (ayat) seperti panjangnya surah Ali ‘Imran ketika berdiri pertama pada rakaat kedua. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqlani, jil. 6, ms. 14-15.

Terdapat Empat Kali Rukuk.


Berbeza dengan solat-solat sunat yang lain, solat Gerhana memiliki empat kali rukuk, iaitu dua kali rukuk setiap rakaat.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata

خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ


Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memanjangkan berdiri, kemudian rukuk dan memanjangkan rukuk.


Kemudian baginda berdiri dan memanjangkan berdiri namun lebih pendek dari berdiri yang pertama. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk, namun lebih pendek dari rukuk yang pertama.


Kemudian baginda sujud dan memanjangkan sujud seterusnya melakukan pada rakaat kedua sama seperti yang dilakukan pada rakaat pertama.


Kemudian baginda selesai solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa perbezaan solat Gerhana berbanding solat-solat yang lain ialah sebaik sahaja membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran kita hendaklah rukuk. Kemudian bangun kembali dan sekali lagi membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran lalu rukuk semula. Kemudian iktidal lalu sujud dan teruskan solat sebagaimana solat-solat yang lain.

Ulangi perkara yang sama pada rakaat kedua. Tidak terdapat riwayat yang menunjukkan adanya zikir-zikir atau bacaan yang khusus untuk solat Gerhana ketika rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyyat. Oleh itu, kita boleh membaca apa jua bacaan ketika solat yang sabit daripada Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terdapat dalam hadis.

Menguatkan Suara (Jahr).
Suara hendaklah dinyaringkan ketika membaca ayat al-Quran dalam solat Gerhana. Menurut 'Urwah, Aisyah radhiallahu’ anha berkata:

جَهَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلاَةِ الْخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَتِهِ كَبَّرَ فَرَكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُعَاوِدُ الْقِرَاءَةَ فِي صَلاَةِ الْكُسُوفِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ

Maksudnya:
Nabi s.a.w mengeraskan bacaan pada solat Gerhana. Apabila selesai membaca baginda terus bertakbir dan rukuk. Apabila baginda selesai rukuk, baginda mengucapkan sami’allaahu liman hamidah rabbana lakal hamdu (semoga Allah mendengar orang yang memuji-Nya, wahai Tuhan kami bagi-Mu segala pujian), kemudian baginda membaca kembali. Pada solat Gerhana terdapat empat kali rukuk dalam dua rakaat dan empat kali sujud. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1065.

Syeikh al-Albani rahimahullah berkata:

Telah ditetapkan oleh Allah bahawa solat Gerhana matahari dilakukan oleh Nabi s.a.w hanya sekali. Juga telah diriwayatkan daripada hadis sahih bahawa baginda mengeraskan bacaan al-Quran seperti yang dijelaskan di dalam Sahih al-Bukhari dan tidak benar jika ada mengatakan bahawa terdapat hadis lain yang menyanggahinya. – Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, jil. 1, ms. 331.

Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Gerhana

Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Gerhana (Kusuf atau Khusuf)
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Membaca Surah al-Fatihah
9) Membaca Surah al-Qur’an
10) Rukuk
11) Iktidal
12) Sujud
13) Duduk antara dua sujud
14) Sujud kali kedua
15) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1) Membaca surah al-Fatihah
2) Membaca Surah al-Qur’an
3) Rukuk
4) Iktidal
5) Membaca Surah al-Fatihah
6) Membaca Surah al-Qur’an
7) Rukuk
8) Iktidal
9) Sujud
10) Duduk antara dua sujud
11) Sujud kali kedua
12) Duduk untuk tahiyyat akhir
13) Memberi salam ke kanan dan ke kiri


Khutbah Ringkas Selepas Solat.

Setelah selesai mengerjakan solat Gerhana, sunnah dilaksanakan khutbah yang ringkas.

Imam Syafie rahimahullah berkata:

Imam hendaklah menjadikan khutbah ketika solat Gerhana matahari seperti khutbah-khutbah lain, iaitu dimulai dengan puji-pujian kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi s.a.w, mendorong manusia berbuat kebajikan, memerintahkan mereka bertaubat serta mendekatkan diri kepada Allah. – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344.

Antara contoh khutbah Rasulullah s.a.w setelah mendirikan solat Gerhana seperti di bawah.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat manusia… Setelah baginda selesai solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali. Lalu baginda berkhutbah di hadapan orang ramai dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَكَبَّرَ... فَاسْتَكْمَلَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي أَرْبَعِ سَجَدَاتٍ وَانْجَلَتْ الشَّمْسُ قَبْلَ أَنْ يَنْصَرِفَ ثُمَّ قَامَ فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid dan orang ramai berbaris di belakangnya, lalu baginda bertakbir… Baginda s.a.w menyempurnakan empat kali rukuk pada empat kali sujud dan matahari telah mula kelihatan sebelum baginda selesai solat. Kemudian baginda berdiri lalu memuji Allah sebagaimana yang layak untuk-Nya (semasa berkhutbah). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.

mesej : saya kopi 'o' dari sini